Reformasi Urusan Pembangunan Ladang Ternakan Ayam Melonjak Produktiviti Negeri Johor

26 Februari 2024, Johor Bahru – Kerajaan Negeri Johor bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Agensi Persekutuan yang berkaitan sedang dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan urusan pembangunan ladang ternakan ayam moden di Negeri Johor.

 

YBrs. En. Mohd Hafiz Bin Aliman, Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan melalui ucapan pada Bengkel Meningkatkan Kecekapan Urusan Pembangunan Ladang Ternakan Ayam Moden Di Negeri Johor, yakin bahawa pelaksanaan Garis Panduan Perancangan Ladang Ternakan Ayam (GPP LANTERA) yang dikeluarkan oleh PLANMalaysia pada bulan Ogos 2023 merupakan satu langkah positif dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan aktiviti perladangan ternakan ayam di Negeri Johor. GPP LANTERA telah dibangunkan sebagai tindak balas terhadap masalah yang timbul seperti kesukaran untuk mendapatkan kelulusan pelan pembangunan serta isu pencemaran alam sekitar.

 

Menurut beliau lagi, “Pelaksanaan GPP LANTERA ini akan dapat meningkatkan kecekapan urusan pembangunan ladang ternakan ayam moden di Negeri Johor. Beberapa jangkaan hasil dan impak positif akan dapat dicapai, antaranya adalah peningkatan pengeluaran sebanyak 20%, pengurangan kos operasi perniagaan sebanyak 15%, serta peningkatan tahap sara diri pengeluaran produk unggas negara kepada 140% menjelang tahun 2030. Selain itu, kita juga yakin bahawa inisiatif ini akan dapat menstabilkan harga produk ayam, memastikan sekuriti makanan negara terjamin, dan mengurangkan kos sara hidup rakyat”.

 

Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan, Mohd Azwan Mohd Salleh berkata, “Sebagai antara negeri pengeluar terbesar ayam pedaging, Negeri Johor akan dapat memberi sumbangan yang besar kepada produktiviti dan pengeluaran ayam di Malaysia. Jika inisiatif ini berjaya dilaksanakan, sebanyak 70% bilangan ladang ayam sistem terbuka akan dapat bertukar kepada ladang sistem tertutup menjelang tahun 2030. Dengan penglibatan semua pihak sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan negeri dan penternak, akan dapat memberi manfaat dan memastikan keterjaminan makanan negara berada pada tahap yang maksimum”.

 

Bengkel ini telah dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, PLANMalaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Daerah, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Air Johor, Badan Kawalselia Air Negeri Johor serta persatuan-persatuan penternak di Negeri Johor.

 

Kerjasama erat Kerajaan dan penternak akan terus membawa manfaat dan memastikan keterjaminan makanan serta mewujudkan persekitaran perladangan penternakan ayam yang kondusif. Ini selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN2.0) 2021-2030 bagi mewujudkan persekitaran pembangunan yang mampan dan seterusnya dapat melonjakkan produktiviti dan daya saing Negeri Johor.


Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: