Kulai Fast Lane tarik ramai pelabur, lonjak produktiviti, ekonomi Johor

  • Projek Kulai Fast Lane adalah satu inisiatif mesra pelabur yang meningkatkan kemajuan dan memastikan kemampanan serta kerancakan pertumbuhan produktiviti dan ekonomi khususnya di Johor.
  • Satu proses pemajuan yang dilaksanakan secara pantas dan tangkas. Bermula daripada kelulusan pelan hingga bangunan siap di tapak, seterusnya kebenaran beroperasi menerusi gabungan proses pada peringkat kelulusan pelan, perakuan siap dan pematuhan (CCC) dan lesen pengoperasian
  • Inisiatif ini menerima sambutan 17 pelabur asing dari seluruh dunia serta pelabur tempatan. Ia mencatatkan nilai pelaburan berjumlah RM30 bilion sejak diperkenalkan pada Januari 2022.


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Mohd Fahmi Salam, berkata KFL yang dilaksanakan di kawasan berkeluasan 1,642 hektar di Senai Airport City (SAC) di Senai dan Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Sedenak menjadi platform atau projek berimpak tinggi bagi meningkatkan potensi Kulai sebagai kawasan pembangunan industri yang strategik.

Kurangkan Kerenah Birokrasi

Beliau berkata, antara pencapaian KFL adalah mengurangkan kerenah birokrasi dan memudahkan pelabur mengembangkan perniagaan di negeri ini.


Katanya, inisiatif berkenaan diperkenalkan bagi membolehkan interaksi berkesan di antara pelabur dan MPKu serta agensi kerajaan seterusnya menggalakkan pelabur menjalankan perniagaan di daerah ini.


Mohd Fahmi berkata, impak kepada pelaburan yang masuk melalui inisiatif ini adalah penambahan hasil, pemindahan teknologi dan pewujudan peluang perniagaan sokongan dalam kalangan penduduk tempatan. Inisiatif ini juga mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan dalam industri perkilangan, elektrikal dan operasi gudang di Kulai.


"Cabaran kepada kami di PBT adalah untuk memenuhi permintaan pelabur yang mementingkan kelulusan tempoh masa cepat. Antaranya mengatur dan mengadakan sesi konsultasi bersama agensi teknikal yang berkaitan.


"Pelabur berpotensi juga sentiasa diberikan peluang untuk berbincang bersama agensi terbabit di setiap peringkat pembangunan bagi memudahkan urusan mereka untuk mendapatkan maklum balas segera, khususnya berkaitan aspek teknikal. Inisiatif KFL turut menjadi antara faktor pelabur mengambil keputusan untuk membuat pelaburan di negeri ini.


"Penambahbaikan sentiasa dilakukan menerusi inisiatif KFL. Sebagai contoh di fasa kedua, sekiranya kelulusan khas diberikan kepada sesuatu projek, dokumen berkaitan akan dicatatkan sebagai projek berimpak tinggi. Ini bagi memastikan setiap agensi terbabit mengambil perhatian sepenuhnya," katanya.


Mohd Fahmi berkata, kerajaan negeri turut menjadikan inisiatif Kulai Fast Lane sebagai contoh atau model bagi pihak berkuasa lain sebagai usaha menggalakkan lebih ramai pelabur ke Johor yang dikenali sebagai Johor Fast Lane (JFL).


Katanya, selain memiliki infrastruktur logistik komprehensif, ketersediaan tanah industri, kedudukan berhampiran dengan Singapura dan faktor negeri Johor yang memiliki modal insan kompetitif, daerah Kulai juga terletak di dalam koridor Iskandar Malaysia. Ini memberikan kelebihan kepada Kulai selain Johor Bahru yang menjadi antara destinasi pelaburan strategik.


Selain itu, beliau turut memaklumkan MPKu akan memulakan proses penggantian Rancangan Tempatan Daerah (RTD) 2030 yang dijangka siap pada 2024. Justeru, potensi KFL akan menjadi antara elemen penting dalam menentukan hala tuju pembangunan di daerah Kulai.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepemimpinan negeri yang diterajui Menteri Besar Johor dan Setiausaha Kerajaan Johor yang sentiasa memberikan dorongan dan sokongan ke arah usaha penambahbaikan proses kerja dalam kalangan agensi termasuk pihak MPKu.


KFL Banyak Membantu

Sementara itu, wakil pelabur, Pengarah Eksekutif My Brush Group of Companies, Ng Seong Mor, berkata KFL banyak membantu terutama dalam aspek pengurusan kertas kerja kerana ia lebih cepat dan mudah berbanding sebelumnya.


Beliau berkata, daripada proses permohonan hingga kelulusan lesen ketika pembangunan mencapai 80 peratus, KFL membantu pelabur untuk menepati jangkaan tempoh mula beroperasi.


"Sebagai pelabur, kita berpuas hati apabila dapat beroperasi di tapak baharu dalam tempoh masa yang singkat dan menepati perancangan projek," katanya.

Pengurus Perhubungan Perniagaan dan Kerajaan Bridge Data Centres (BDC), Lily Azman, juga berkata, fungsi KFL memastikan segala urusan berjalan lancar dan pantas di mana fasa pertama operasi syarikat dapat dimulakan pada tahun lalu.


"Kami berasa yakin dan selamat menerusi KFL kerana ia memastikan penyelarasan awal teknikal, kelulusan secara serentak, masuk tapak awal dan permohonan lesen awal yang dapat menjimatkan masa serta kos. Ia juga dapat memastikan pelabur terus selesa di negeri ini.


"Kami berasakan inisiatif yang diperkenalkan akan terus menyokong pertumbuhan operasi syarikat pelabur asing dari seluruh dunia," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Zahid Ismail, berkata MPC sudah bekerjasama dengan Johor dalam melaksanakan Program Johor Produktif, termasuk MyMudah bagi mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar dan meningkatkan kecekapan penyampaian peraturan.


"Selain itu, inisiatif MyMudah yang sudah diperkenalkan banyak membantu mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar terhadap perniagaan.


"Ia juga dapat meningkatkan integriti penyampaian perkhidmatan awam kerana proses dan prosedur adalah telus, terbuka dan cekap serta dapat meminimumkan kerenah birokrasi.


"MPC kini sedang giat menyebar dan mempromosikan konsep Fast Lane ke negeri dan lokasi lain melalui pejabat wilayahnya. Kulai Fast Lane menjadi contoh amalan kawal selia yang baik dan peraturan tangkas yang telah menjadi asas kepada usaha pembaharuan kawal selia kerajaan Johor," katanya.

Share by: