Memperkasakan Proses Pembinaan Stesen Petrol Di Sarawak Untuk Lonjakan Produktivi Dan Menarik Pelaburan
Kuching, 8 Ogos 2025 – Menerusi sesi libat urus pemetaan pembinaan stesen petrol yang diadakan pada hari ini di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak bertujuan untuk memacu usaha mempercepat dan mempermudah proses pembinaan stesen petrol di Sarawak. Inisiatif ini seiring dengan Pelan Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dan Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) bagi mengurangkan kerenah peraturan, menggalakkan pelaburan, dan melonjakkan produktiviti secara menyeluruh.
Sesi libat urus selama dua hari merangkumi sesi perkongsian dan pembentangan daripada pakar teknikal serta pengusaha minyak. Sesi ini mengenal pasti prosedur yang bertindih atau tidak relevan, menyelaras aliran kerja antara agensi, dan merangka penambahbaikan berimpak tinggi yang dapat mempercepat tempoh kelulusan pembinaan stesen petrol. Melalui penglibatan aktif pelbagai pihak berkepentingan, MPC berhasrat hasil sesi ini dijangka menjadi asas kukuh kepada reformasi proses kelulusan stesen petrol di Sarawak yang lebih efisien, mesra pelabur, dan berdaya saing.
Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dr Mohammad Norjayadi Tamam berkata, proses yang lebih cekap dan mesra pelabur akan meningkatkan akses bahan api terutamanya di kawasan luar bandar, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat. “Pembinaan stesen petrol adalah komponen penting dalam rantaian bekalan tenaga dan perdagangan Sarawak. Penambahbaikan ini akan memperkukuh persekitaran pelaburan yang telus dan berdaya saing,” katanya.
Peningkatan kecekapan proses kelulusan ini dijangka memberi pelbagai manfaat termasuk mempercepat pembangunan infrastruktur tenaga, mengurangkan kos dan masa menunggu bagi pelabur, serta meningkatkan liputan rangkaian bahan api ke kawasan strategik yang menyokong industri, pelancongan dan komuniti setempat.Hasil penambahbaikan projek pemetaan stesen petrol ini akan dijadikan sebagai rujukan untuk diperluaskan kepada permit pembangunan yang lain di Sarawak. Usaha
ini berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa ke Sarawak kerana kestabilan bekalan tenaga merupakan faktor utama dalam keputusan pelaburan. Diharapkan usaha ini dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong sasaran menjadikan Malaysia antara 12 negara paling berdaya saing menjelang 2030
Tamat.
Untuk Pertanyaan Media:
media@mpc.gov.my