Kerjasama Awam-Swasta Dengan MPKK Akan Lonjak Produktiviti Menerusi Teknologi - MPC

7 Feb 2024

Kerjasama awam-swasta di antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Nexus Produktiviti Pembinaan (CPN), para peserta industri pembinaan dengan Majlis Perbandaran Kulim, Kedah (MPKK) akan terus melonjakkan produktiviti bagi meningkatkan kecekapan proses kerja melalui penerimagunaan teknologi dan pendigitalan.


Dalam kenyataan pada Rabu, MPC menjelaskan MPKK sedang meneraju pelaksanaan projek rintis penggunaan sistem National BIM e-Submission (NbeS) bagi permohonan pemajuan pelan bangunan.


Gerak kerja projek rintis itu bermula pada Julai 2023 yang telah membawa kepada pelancaran rasmi BIM Station MPKK (Pusat Operasi BIM) pada 28 Ogos 2023, tambahnya.


Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkata usaha MPKK dalam melonjakkan produktiviti melalui kecekapan proses dan penerimagunaan teknologi digital perlu dijadikan contoh kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.


"Penggunaan BIM secara meluas oleh PBT akan meningkatkan produktiviti sektor pembinaan. Pelbagai pihak dalam sebuah projek pembinaan boleh bergerak secara serentak melalui satu sistem digital yang sama.


"Ini memudahkan perkongsian maklumat, meningkatkan kecekapan komunikasi, dan menambah baik koordinasi kerja," katanya dalam kenyataan yang sama.


Beliau berkata melalui BIM, reka bentuk dan analisis lebih tepat, perancangan dan jadual lebih efisien, dan sumber dapat diuruskan dengan lebih berkesan di samping meningkatkan kepatuhan kepada peraturan yang ditetapkan.


"Penggunaan kos, masa, dan tenaga, serta pelaksanaan prosedur proses lebih efektif, justeru meningkatkan produktiviti," katanya.


Sementara itu, Yang Dipertua MPKK, Datuk Elmi Yusoff berkata penerimagunaan teknologi digital adalah satu keperluan penting dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan PBT terutama dalam perihal pembangunan industri.


"Pelaksanaan BIM Station MPKK selari dengan misi MPKK untuk menjadikan Kulim bandar pintar, makmur, dan damai. Komitmen MPKK adalah untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada industri, perniagaan, dan masyarakat penduduk di daerah Kulim," katanya.


Menurut MPC, BIM Station MPKK dijangka beroperasi sepenuhnya pada April 2024.


Penggunaan BIM Station MPKK yang mengguna pakai sistem NBeS disasar mengurangkan tempoh memproses permohonan kelulusan pelan bangunan kepada hanya 24 jam berbanding 57 hari pada masa ini, jelasnya.


Sumber : BERNAMA

Share by: