Malaysia dan TBS jalin kerjasama strategik laksana intervensi inisiatif BE

2 April 2024

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak bersama Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) menjalinkan kerjasama strategik dengan melaksanakan intervensi inisiatif Kecemerlangan Perniagaan (BE) bagi tempoh tiga bulan di TBS baru-baru ini.


Menurut kenyataan MPC hari ini, kerjasama itu merupakan usaha kedua-dua pihak untuk meningkatkan produktiviti dan menambah baik perkhidmatan organisasi sektor awam di Sarawak agar lebih berdaya saing, mantap dan efisien. 

Inisiatif BE katanya, merupakan pendekatan praktikal dan holistik yang merangkumi tujuh kriteria utama iaitu kepimpinan, perancangan, maklumat, pelanggan, sumber manusia, proses dan hasil.

Dalam pelaksanaan BE ini katanya, sesi pembentangan akhir telah diadakan pada 28 Mac 2024 yang disampaikan oleh Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dan turut dihadiri pengurusan tertinggi, pegawai-pegawai kanan TBS serta pegawai-pegawai MPC Wilayah Sarawak.


Menurutnya, Pengarah MPC Wilayah Sarawak Dr Mazlina Shafi’i ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena sesi pembentangan akhir pelaksanaan BE berkata, walaupun dilaksanakan dalam tempoh yang singkat, inisiatif itu berjalan dengan lancar dan rapi mengikut perancangan serta tempoh masa ditetapkan. 


”Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga kerja TBS atas usaha gigih tersebut,” katanya.


Beliau juga berharap inisiatif BE ini dapat mengenal pasti amalan-amalan terbaik di TBS terutama sumbangan TBS kepada peningkatan ekonomi negeri Sarawak. 


”Saya berharap TBS menjadi salah satu organisasi pelopor di Sarawak dalam agenda untuk menyebar luas konsep BE kepada organisasi-organisasi di Sarawak, selain menjadi sebahagian daripada komuniti BE yang mantap dan terus berdaya saing,” katanya.


Sementara itu, Abang Mohd Shibli berkata beliau amat berbangga dengan pencapaian ini dan yakin bahawa menerusi pelaksanaan inisiatif BE, perkhidmatan, produktiviti dan pengurusan di TBS dapat ditingkatkan serta ditambah baik ke tahap maksimum. 


”Selain itu, TBS juga akan terus berusaha dan bergerak ke arah menjadi sebuah institusi Islam yang maju bertaraf global di samping memartabatkan syiar Islam,” katanya. 


Untuk rekod, TBS telah diberikan pengiktirafan sebagai salah sebuah organisasi sektor awam di Sarawak yang dianugerahkan sijil Malaysia Business excellence Framework (MBEF).


Pengiktiran ini merupakan nilai tambah kepada TBS susulan institusi Islam tersebut boleh dijadikan sebagai panduan dan rujukan.


Selari dengan rangka kerja daya saing yang mengukur kecekapan perniagaan melalui ketangkasan organisasi, pelaksanaan inisiatif BE ini akan menjadi pemangkin untuk menyebar luas konsep BE kepada organisasi-organisasi di Sarawak terutama sektor awam. 


Organisasi yang cemerlang ini diharap akan menjadi model rujukan dan penyuntik semangat serta persaingan sihat dalam kalangan sektor awam di Sarawak.



Source : Utusan Borneo

Share by: