MyMudah lonjak ekonomi Terengganu

11 March 2024

Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan kualiti peraturan melalui pelaksanaan platform MyMudah bagi melonjakkan produktiviti, daya saing dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, melalui platform yang diusahakan MPC dengan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), ekosistem perniagaan lebih kondusif dapat diwujudkan ke arah pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan berimpak tinggi di Terengganu.


"Pelaburan sama ada domestik atau dari luar negara memberi kesan signifikan kepada pendapatan negeri, peningkatan taraf sosioekonomi setempat dan penciptaan peluang pekerjaan baharu," katanya.


Beliau berkata demikian semasa Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu di sini pada Ahad, yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Tambah Tengku Farok Hussin, selaras dengan hasrat MPC untuk membantu mewujudkan mekanisme lebih telus dalam proses pengurusan permit dan lesen, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memberikan komitmen dalam projek penambahbaikan Garis Panduan Pelesenan Perniagaan yang dapat menyumbang ke arah ekosistem perniagaan yang lebih kondusif di Terengganu.

Menurutnya, MyMudah bertindak sebagai platform bagi industri menyalurkan maklumat, cadangan dan pandangan berkaitan isu-isu kerenah birokrasi serta beban peraturan yang tidak wajar.

"Kami sedia maklum terdapat banyak peraturan dan garis panduan di peringkat kerajaan negeri serta PBT yang perlu dipatuhi peniaga."

"Justeru, melalui Unit MyMudah, industri boleh berhubung secara langsung dengan pihak berkuasa berkaitan dan bekerjasama dalam menyelesaikan isu serta cabaran peraturan perniagaan tanpa perlu melalui banyak kerenah birokrasi," katanya.

Jelas beliau lagi, MyMudah juga membantu penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemudah cara perniagaan melalui pendekatan lebih bersepadu, berstruktur dan berasaskan bukti.

Sumber : Sinar Harian

Share by: