Pelaksanaan GPP LANTERA lonjak pengeluaran produk unggas negara

26 Feb 2024

Pelaksanaan Garis Panduan Perancangan Ladang Ternakan Ayam (GPP LANTERA) dijangka melonjakkan pengeluaran produk unggas negara kepada 140 peratus menjelang 2030.


Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Mohd Hafiz Aliman berkata pelaksanaan GPP LANTERA yang dikeluarkan oleh PLANMalaysia pada 2023 adalah langkah positif dalam menangani isu yang berkaitan dengan aktiviti perladangan ternakan ayam termasuk Johor.


Katanya, garis panduan itu juga dibangunkan sebagai tindak balas terhadap masalah terutama mendapatkan kelulusan pelan pembangunan serta isu pencemaran alam sekitar membabitkan ternakan ayam.


"Kerajaan Johor bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan agensi Persekutuan yang berkaitan sedang dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan urusan pembangunan ladang ternakan ayam moden di Johor.


"Pelaksanaan GPP LANTERA ini akan dapat meningkatkan kecekapan urusan pembangunan ladang ternakan ayam moden di Johor.


"Beberapa jangkaan hasil dan impak positif akan dapat dicapai, antaranya adalah peningkatan pengeluaran sebanyak 20 peratus; pengurangan kos operasi perniagaan sebanyak 15 peratus serta peningkatan tahap sara diri pengeluaran produk unggas negara kepada 140 peratus menjelang 2030.


"Kita juga yakin bahawa inisiatif ini akan dapat menstabilkan harga produk ayam, memastikan sekuriti makanan negara terjamin, dan mengurangkan kos sara hidup rakyat," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.


Hari ini diadakan Bengkel GPP LANTERA di sini membabitkan pelbagai pemegang taruh industri ternakan ayam Johor termasuk persatuan penternak di negeri ini.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan, Mohd Azwan Mohd Salleh berkata, Johor sebagai antara negeri pengeluar terbesar ayam pedaging, dapat memberi sumbangan yang besar kepada produktiviti dan pengeluaran ayam di negara ini.


"Jika inisiatif GPP LANTERA ini berjaya dilaksanakan, sebanyak 70 peratus bilangan ladang ayam sistem terbuka di Johor akan dapat bertukar kepada ladang sistem tertutup menjelang 2030.


"Dengan pembabitan semua pihak sama ada di peringkat Persekutuan, kerajaan negeri dan penternak, ia akan dapat memberi manfaat dan memastikan keterjaminan makanan negara berada pada tahap yang maksimum," katanya.


Sumber : myMetro On-line

Share by: