Perbaiki tiga indeks untuk tingkatkan gaji rakyat

02 Jan 2024

Malaysia boleh mencapai sasaran meningkatkan produktiviti yang berupaya membawa kepada gaji tinggi kepada rakyat dengan menambah baik kedudukan negara dalam tiga indeks utama, demikian menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).


Tiga indeks itu ialah Indeks Pembangunan Sumber Manusia, Indeks Teknologi Digital dan Indeks Daya Saing Global.


Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail, berkata usaha yang pertama adalah peningkatan kemahiran iaitu rakyat perlu membabitkan diri dalam pendidikan formal dan tidak formal untuk memperolehi pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan untuk kekal bersaing di pasaran pekerjaan yang sentiasa dinamik.


“Malaysia menyasarkan peningkatan dalam petunjuk prestasi Purata Tempoh Pembelajaran dalam Indeks Pembangunan Sumber Manusia kepada 12.5 tahun menjelang 2030 daripada 10.6 tahun pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, cara kedua pula adalah penerimaan teknologi dengan syarikat perlu memahami dan mengguna secara menyeluruh kaedah pengurusan moden, teknologi digital, automasi serta mekanikal untuk meningkatkan kecekapan.


“Indeks Teknologi Digital perlu ditingkatkan ke kedudukan ke-12 menjelang tahun 2030 daripada kedudukan ke-33 pada ketika ini dalam kalangan 64 negara,” katanya.


Akhir sekali, Zahid berkata pembuat dasar perlu memastikan agar dasar dan peraturan yang dikuatkuasakan adalah tidak membebankan rakyat serta syarikat.

“Malaysia menyasarkan Indeks Daya Saing Global di kedudukan ke-12 menjelang tahun 2030 daripada kedudukan ke-27 pada 2023,” katanya.


Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa produktiviti yang tinggi turut dapat menghasilkan peningkatan keuntungan kepada syarikat serta sumbangan hasil cukai yang lebih besar kepada kerajaan.


Katanya, Malaysia mempunyai potensi pertumbuhan produktiviti yang sangat besar, dengan sasaran pertumbuhan sebanyak 3.8 peratus setahun dari 2024 hingga 2025.


Sumber : buletintv3.my

Share by: