Pengiktirafan Pendidikan Bukan Formal Pacu Produktiviti Negara
Bangi, 9 Mei – FGV Palm Industries Sdn. Bhd. (FGVPI) dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) buat julung kalinya melakar sejarah memperkasa tenaga kerja negara melalui projek rintis pengiktirafan pendidikan bukan formal yang mampu untuk memacu pertumbuhan produktiviti industri dan negara.
Program berteraskan rangka kerja inovatif Flexitivity ini menggabungan elemen fleksibiliti dan produktiviti yang menilai latihan melalui penanda aras keberkesanan seperti peningkatan produktiviti, kualiti kerja dan penjimatan kos. Ia merupakan manifestasi prinsip “Kemahiran Tinggi, Produktiviti Tinggi, Keuntungan Tinggi, Gaji Tinggi” yang menyokong pelaksanaan dasar gaji progresif kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif FGVPI Abdul Malik bin Sekak berkata, pendidikan bukan formal adalah sama pentingnya dengan pendidikan formal di mana ia membuka peluang kepada pekerja yang tidak memiliki sijil akademik untuk tetap diiktiraf secara sah dan berstruktur.
“Kami percaya bahawa inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja dari segi kenaikan pangkat dan gaji, malah turut menyumbang secara langsung kepada peningkatan produktiviti syarikat. Penyertaan FGVPI di dalam program Akademi Dalam Industri (ADI) turut memperkukuhkan pembangunan bakat dalam sektor industri secara menyeluruh,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Projek Rintis Pengiktirafan Pendidikan Bukan Formal yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Zahid bin Ismail dan barisan pengurusan serta pegawai kedua-dua organisasi.
Sementara itu, Datuk Zahid pula berkata, dengan meletakkan pendidikan bukan formal di arus perdana melalui pengiktirafan yang sewajarnya, kita dapat memperkukuh pasaran buruh berasaskan kemahiran dan produktiviti. “Ini akan membantu Malaysia menjadi hab industri berinovasi tinggi dan ekonomi serantau yang mampan, di mana tenaga kerja negara selari dengan keperluan dan perubahan semasa,” katanya.
FGVPI menjadi organisasi perintis dengan penglibatan 24 pekerja melalui Program Fitter Mekanik selama 6 bulan. Program ini dijangka akan memberi impak besar terhadap peningkatan produktiviti organisasi, mengukuhkan ekosistem pembelajaran sepanjang hayat dan memperkukuh daya saing negara di peringkat global dengan menyumbang kepada purata tahun persekolahan Malaysia sebanyak 12.7 tahun serta sasaran 40% tenaga kerja mahir negara menjelang 2033.
MPC juga akan memperluas pengiktirafan ini kepada lebih banyak organisasi pelbagai sektor strategik bagi memacu Malaysia sebagai hab ekonomi serantau berkemahiran tinggi.
Tamat.
Untuk Pertanyaan Media:
media@mpc.gov.my