Reformasi Birokrasi Terengganu Catat Penjimatan Masa Sehingga 95% Beri Manfaat Kepada Rakyat Dan Peniaga

Terengganu, 14 Julai – Tiga projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang telah siap di Negeri Terengganu mencatatkan penjimatan kos pematuhan dianggarkan RM 8.23 juta setahun melalui pengurangan tempoh masa memproses permohonan antara 85 hingga 95 peratus. Pencapaian ini diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Projek RKB sempena Program MADANI Rakyat Negeri Terengganu 2025 di Laman Payang pada 12 Julai 2025.


Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN) menyerahkan sijil penghargaan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang berjaya memendekkan masa memproses kelulusan Permit Kerja‑Kerja Kecil (PKK) daripada 2 hari kepada 1 jam, sekali gus menjimatkan RM811,440 setahun dan melonjakkan produktiviti 144 kontraktor kecil.


Turut menerima sijil penghargaan ialah Majlis Perbandaran Dungun (MPD) yang melaksanakan inisiatif mempercepatkan kelulusan pelan bangunan sesebuah/Semi‑D daripada 36 hari kepada 5 hari, dengan penjimatan tahunan RM6.23 juta. Produktiviti pemaju diunjur meningkat 20 – 30 peratus dan 5 – 8 peluang pekerjaan diwujudkan bagi setiap projek. Paling utama, rakyat di Negeri Terengganu akan menikmati harga rumah yang berpatutan kerana pengurangan kos pembangunan oleh pemaju.


Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) turut menerima sijil penghargaan bagi usaha mempercepatkan tempoh pembaikan kerosakan premis daripada 60 hari kepada 7 hari untuk kerosakan kritikal dan kecemasan. Inisiatif ini menjimatkan RM1.19 juta setahun dan memberi manfaat kepada 1,193 pemilik premis.


“Keputusan dan tindakan pantas, penjimatan kos dan kepuasan rakyat tinggi – inilah matlamat Reformasi Kerenah Birokrasi. Syabas kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan pasukan MBKT, MPD dan PMINT yang membuktikan budaya kerja pantas, telus dan berakauntabiliti boleh dicapai melalui pendigitalan proses, tindakan berasaskan risiko dan reformasi proses kerja,” kata Tan Sri Shamsul Azri.


Kejayaan projek-projek RKB oleh Negeri Terengganu menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan menyumbang kepada produktiviti di sektor awam dan swasta.


Model yang diguna pakai bakal diperluas ke negeri‑negeri lain, selaras dengan usaha meningkatkan kecekapan kerajaan yang menjadi antara pengukuran utama keupayaan daya saing negara.



Tamat.


Untuk Pertanyaan Media:

media@mpc.gov.my