RKB Perkukuh Kecekapan Kerajaan, Pacu Daya Saing Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Julai 2025 – Selaras dengan komitmen jentera kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelaburan dan bakat global terulung, usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan awam kini menunjukkan hasil yang signifikan. Menerusi Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), prinsip pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) dan pendigitalan perkhidmatan awam terus diperkasa untuk memacu penambahbaikan kualiti penyampaian kerajaan secara menyeluruh.


Kejayaan platform Xpats Gateway dalam memendekkan tempoh pemprosesan Pas Penggajian (EP) disumbang oleh kerjasama erat antara Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR). Kolaborasi strategik ini berjaya memacu transformasi perkhidmatan awam, memastikan proses permohonan EP yang lebih pantas, telus, dan cekap untuk memenuhi keperluan industri. Inisiatif ini merupakan langkah kritikal dalam usaha menarik dan mengekalkan bakat berkemahiran tinggi yang penting untuk pertumbuhan ekonomi negara.


Transformasi ini diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang menjayakan pembangunan sistem single window bersepadu secara end-to-end. Platform Xpats Gateway menyatukan proses permohonan dan kelulusan daripada 26 agensi pelulus dan kawal selia, termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di bawah satu bumbung. Pendekatan ini menghapuskan kerenah birokrasi, mengurangkan pertindihan proses, dan memastikan pengalaman yang lancar bagi majikan tempatan.


Sebagai penyelaras dan pemudahcara sepanjang pelaksanaan inisiatif ini, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memainkan peranan penting dalam menjayakan transformasi perkhidmatan awam. Dengan kepakaran dalam rekayasa proses dan peningkatan produktiviti, MPC telah memudah cara kerjasama rentas agensi bagi memastikan Xpats Gateway bukan sahaja memenuhi standard teknikal tetapi juga mencapai objektif utamanya untuk meningkatkan kecekapan dan menyokong persekitaran perniagaan yang dinamik.


"Xpats Gateway ialah bukti kejayaan pendekatan keseluruhan kerajaan dalam menterjemah dasar kepada tindakan yang berimpak tinggi kepada negara. Dengan memudah cara proses kelulusan EP, kita bukan sahaja meningkatkan kecekapan kerajaan tetapi juga membina keyakinan pelabur serta memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global. Inilah contoh terbaik bagaimana reformasi yang diselaraskan dengan baik dapat memberi manfaat langsung kepada ekonomi dan rakyat," kata Datuk Zahid Ismail, Ketua Pengarah MPC.


Inisiatif seperti ini memberi impak langsung kepada peningkatan produktiviti sektor-sektor utama negara dengan mempercepatkan kemasukan bakat global. Kecekapan kerajaan yang dipertingkatkan ini bukan sahaja memperbaiki persepsi pelabur tetapi juga menyumbang secara langsung kepada matlamat negara untuk berada dalam kedudukan 12 teratas dalam penarafan daya saing global menjelang 2033. Kejayaan platform ini—dengan 30,615 permohonan EP diproses untuk lebih 20,000 syarikat antara Januari – Jun 2025—merupakan isyarat jelas komitmen kerajaan untuk reformasi yang substantif dan berimpak tinggi.



Tamat.


Untuk Pertanyaan Media:

media@mpc.gov.my