RMK13 Sasar Pertumbuhan Produktiviti Buruh 3.6% Setahun, Malaysia Ke Arah 12 Teratas Daya Saing Menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2025 — Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyambut baik kesungguhan Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang menetapkan sasaran pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.6% setahun serta usaha menempatkan Malaysia dalam kelompok 12 teratas Indeks Daya Saing Dunia (IMD) menjelang 2030.


Peningkatan produktiviti buruh merupakan landasan utama kepada pertumbuhan ekonomi mampan, pengukuhan gaji munasabah, dan daya tahan industri dalam menghadapi tekanan kos yang semakin tinggi di peringkat global.


Ketua Pengarah MPC, Datuk Zahid Ismail berkata, “Kenaikan kos global yang didorong oleh gangguan rantaian bekalan, kekurangan tenaga kerja dan perubahan struktur ekonomi menuntut pendekatan bersifat struktural dan sistemik. Meningkatkan produktiviti adalah jalan terbaik untuk memastikan ketahanan ekonomi, kestabilan harga dan kesejahteraan rakyat. Sasaran 3.6% ini adalah realistik, dan memerlukan pelaksanaan yang bersepadu.”


Sebagai langkah awal ke arah pencapaian sasaran RMK13, MPC melaksanakan Program Akademi Dalam Industri (ADI) bagi merapatkan jurang antara pendidikan dan kemahiran selaras dengan keperluan industri. MPC juga sedang membangunkan Jejak Indikator Daya Saing Negara, iaitu satu analisis berterusan untuk menilai ruang penambahbaikan dasar, peraturan dan amalan yang mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam IMD World Competitiveness Ranking, yang akan membantu pembuat dasar bertindak lebih pantas dan tepat dalam pelaksanaan penambahbaikan.


MPC beriltizam untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan kementerian, agensi, dan sektor swasta, terutama melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan 14 Pasukan Nexus Produktiviti, agar setiap inisiatif pembaikan yang dilaksanakan benar-benar memberi kesan terhadap produktiviti buruh, sekaligus memperkukuh usaha Malaysia untuk mencapai kedudukan 12 negara paling berdaya saing di dunia menjelang 2030.



Tamat.


Untuk Pertanyaan Media:

media@mpc.gov.my